Rasulullah S.A.W pernah berpesan kepada Sayyidina Umar r.a. dan
Sayyidina Ali k.w.:
“Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang
doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman
kamu. Kamu berdua pergilah mencari dia. Dia akan datang dari arah
Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah
dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu
berdua.”
Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali lalu sama-sama
menanyakan kepada Rasulullah S.A.W:
“Apakah yang patut saya minta
daripada Uwais al-Qarni, ya Rasulullah?”
Rasulullah S.A.W menjawab:
“Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan
dosa-dosa kalian.”
Memang benarlah kata-kata Rasulullah
S.A.W, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Sayyidina Umar dan
Sayyidina Ali. Mereka memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang
datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu juga dengan Uwais
al-Qarni. Pada pandangan mata kasar, tidak mungkin dia orang yang
Rasulullah S.A.W maksudkan kerana di kalangan orang awam, Uwais dianggap
sebagai seorang yang kurang waras.
Uwais Al-Qarni adalah
seorang yang berpenyakit sopak, badannya putih, yakni putih penyakit
yang tidak digemari. Walaupun dia seorang berpenyakit sopak, dia adalah
seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur
dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya.
Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Beliau berpenyakit
sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.
Suatu
hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin untuk mengerjakan
haji. Dia menyuruh Uwais supaya berikhtiar agar dia dapat membawanya ke
Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak
berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu
kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu
menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat
ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi
panas matahari dan hujan, selesa namun perbelanjaannya mahal. Uwais
tidak mampu untuk menyediakan yang demikian. Beliau tidak memiliki unta
dan juga tidak mampu untuk membayar sewa.
Pada suatu hari,
ibu Uwais yang semakin uzur berkata kepada anaknya: “Anakku, mungkin
ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu
dapat mengerjakan haji.”
Uwais mendapat suatu ilham. Dia
membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia
membuat sebuah rumah kecil di atas sebuah ‘Tilal’ iaitu sebuah tanah
tinggi (rumah untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada
petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal.
Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut
untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya
dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu
makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan
beliau kurang waras.
Memang pelik, membuatkan rumah untuk
lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa
naik, pagi dibawa turun bukit. Namun sebenarnya jika dilihat di
sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg,
selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan
badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu
seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.
Selepas
lapan bulan, apabila sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu
adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia
telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya.
Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti
dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku
inikan pula ibunya yang lebih ringan. Dia membawa (mendukung dan
memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan
Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga
memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari
Mekah.
Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: “Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?”
Uwais menjawab: “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.
Ibunya bertanya lagi: “Bagaimana pula dengan dosa kamu?”
Uwais menjawab: “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga.”
Ibunya berkata lagi: “Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.”
Uwais
berkata: “Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan.
Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur
dengan Allah Ta’ala.”
Ibunya menambah: “Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa.”
Akhirnya
Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais
lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan
putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Namun kerana dia
takut masih ada dosa pada dirinya, dia berdoa: “Tolonglah ya Allah!
Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan
tinggalkanlah sedikit.”
Allah SWT lalu menyembuhkan serta
merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu
tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada
Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka
inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah S.A.W kepada Sayyidina
Umar dan Sayyidina Ali: “Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu
bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah
Uwais al-Qarni.”
Tidak lama kemudian, ibunya meninggal
dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia
telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah.
Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais dan seperti
yang diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W, mereka meminta supaya Uwais
berdoa agar Allah SWT berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka berdua.
Ketika
Uwais al-Qarni berjumpa Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali, beliau
berkata: “Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin
menunaikan wasiat Rasulullah S.A.W kepada kamu iaitu supaya kamu berdua
berjumpa dengan aku.” Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka
berdua.
Setelah itu Sayyidina Umar, yang ketika itu
memegang jawatan Khalifah, bertanya kepadanya: “Anda hendak pergi ke
mana?” “Kufah”, jawab Uwais. Sayyidina Umar bertanya lagi: “Mahukah aku
tuliskan surat kepada Gabenor Kufah agar melayanimu?” Uwais menjawab:
“Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku
sukai.”
Demikianlah kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat
dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di bumi,
tetapi amat terkenal di langit. Wallahua’lam.
Barangsiapa
yang menginginkan pelindung, maka Allah cukup baginya. Barangsiapa yang
menginginkan teladan, maka Rasulullah cukup baginya. Barangsiapa yang
menginginkan pedoman hidup, maka Al-Quran cukup baginya. Barangsiapa
yang menginginkan peringatan, maka kematian cukup baginya. Dan
barangsiapa tidak cukup dengan semua itu, maka neraka cukup baginya.
Adab Bersahabat dan Hak Persaudaraan
1 day ago